Program yang bertemakan 'We Care We Clean' diketuai sendiri Pengarah Urusan syarikat pengangkutan tersebut, Laili Ismail mengutip sampah yang dibuang di pesisiran pantai terutama bahan buangan yang tersangkut di celahan batu benteng pemecah ombak.

Menurut Laili, program itu dianjurkan sempena bulan kemerdekaan negara ke-62 dan menyahut saranan kerajaan meralisasikan tema Hari Kebangsaan, Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

"Program bermula seawal pukul 7. 45 pagi bermatlamatkan usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan kakitangan selain meningkatkan kesedaran pentingnya mengekalkan kebersihan yang mencerminkan imej sesebuah negeri.

"Program ini juga dapat menerapkan nilai murni seperti kerjasama serta memberi impak yang positif bukan hanya kepada kakitangan malah kepada pengunjung untuk mengamalkan tabiat mengutip sampah dan membuang di tempat yang sepatutnya," katanya ketika ditemui di Pantai Irama, dekat sini, hari ini.

Laili berkata, kakitangan Ekspres Perdana juga sentiasa dipupuk supaya bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi dan mengambil bahagian aktif dalam apa jua program kemasyarakat untuk kepentingan bersama.

"Tidak mementingkan diri sendiri malah sentiasa peka terhadap usaha-usaha murni menerusi CSR yang dianjurkan oleh pengurusan syarikat.

"Alhamdulillah. Semoga keikhlasan kakitangan kami mengutip sampah mendapat ganjaran pahala dan membangkitkan kesedaran dan kebertanggungjawaban pengunjung untuk tidak membuang bungkusan makanan dan minuman di celahan batu sekitar pantai ini," katanya. - UTUSAN ONLINE