Video oleh AIMUNI TUAN LAH

Lelaki berusia 41 tahun itu juga turut mengakui isteri ketiganya itu adalah kawan kepada anaknya dan pernah mengajar kedua-dua mereka mengaji al-Quran.

“Emak kepada isteri saya ini pernah bekerja di kedai isteri pertama saya. Daripada itu terbit rasa suka kepada Ayu (isteri ketiga). Kehidupan mereka susah, jadi saya ingin membantu untuk menjaganya lagi pun kakaknya juga sudah berpisah dan terpaksa menjaga seorang anak, terabai, saya tidak mahu perkara sama terjadi kepada dia juga.

“Saya berasa ingin menjaga­nya dengan rela hati selepas melihat keadaan hidupnya yang susah dan ingin menjadikannya sebahagian keluarga saya. Saya juga pernah mendidiknya me­ngajar mengaji al-Quran bersama anak saya,” katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Lalang di sini hari ini.

Akhbar ini hari ini melaporkan kisah perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun dengan lelaki jauh lebih tua dengannya yang berumur 41 tahun.

Gambar perkahwinan mereka tular selepas isteri kedua lelaki itu, Siti Nor Azila Zulkifle, 34, meluahkan kekesalan selepas bermadu dengan gadis berusia 11 tahun yang juga kawan kepada anak tirinya.

Bagaimanapun kedua-dua mereka dikatakan hanya tinggal bersama selepas kanak-kanak itu berusia 16 tahun dan perkahwinan mereka yang berlangsung di selatan Thailand direstui oleh keluarga budak tersebut.

Che Abdul Karim berkata, walaupun terdapat desakan supaya melepaskan isteri ketiga yang baharu dinikahi dua minggu lalu, namun dia tidak akan sesekali melakukan perkara itu biarpun mendapat tentangan isteri pertama dan keduanya.

“Kerana sukakan Ayu, saya sepakat dengan keluarganya untuk kahwin gantung. Selagi tidak cukup umur, maka kami tidak dibenarkan tinggal bersama. Saya juga sudah bertanya kepada ahli agama yang begitu arif di selatan Thailand. Kami bernikah di sana sebab dia warga Thailand. Jadi kami bernikah disaksikan imam, wali dan saksi seperti yang ada di dalam gambar itu.

“Jadi saya harap jangan bersangka buruk seperti yang dikecam dalam Facebook dan saya minta doakan yang baik untuk kami,” katanya.

Tambahnya, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah dan mengecam keluarga­nya secara keterlaluan kerana terdapat laman blog dan portal terdapat perkara yang bercanggah sehingga mengaibkan.

“Saya kesal dengan laporan berita sebelum ini yang hanya mendengar sebelah pihak dan tidak pernah menghubungi saya untuk dapatkan kenyataan,” katanya.