Video oleh AIMUNI TUAN LAH

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Ayu itu berkata, dia ada menerima mesej menerusi WhatsApp daripada isteri kedua suaminya, Siti Noor Azila Zulkifle, 34, yang mahukan dia menjaga anaknya seperti anak sendiri, semalam.

Katanya, dia gembira sekiranya hubungannya bersama suami, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, direstui dan diterima oleh madunya.

“Isteri kedua ‘abe’ (suami) ada mesej semalam. Dia suruh jaga anak. Anaknya yang paling kecil bernama Mira, tiga tahun.

“Dia juga bertanya kepada saya benarkah saya sayangkan ‘abe’, saya jawab ya. Dia pun tak marah-marah lagi pada saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Noor Azila sebelum ini menerusi Facebook meminta netizen tidak mengecam kanak-kanak itu kerana menyifatkannya tidak bersalah serta masih mentah serta kebudak-budakan.

Bagaimanapun kira-kira pukul 4 pagi, wanita yang beranak empat hasil perkongsian hidupnya dengan Che Karim membuat satu lagi hantaran dalam laman sosial itu memberitahu dia dan isteri pertama suaminya akan ‘mengundurkan’ diri.

Sementara itu, Che Abdul Karim berkata, dia berharap kedua-dua isterinya bertenang dan menerima madu baharu mereka.

“Saya berharap perkara ini reda dan terkawal. Saya mohon doa yang baik-baik daripada semua. Tetapi untuk meninggalkan Ayu tidak sekali-kali kerana saya sudah mengambilnya sebagai isteri.

“Ini perkara biasa bagi wanita bermadu, pada peringkat awal panas dan apabila sejuk emosi mereka kembali tenang,” katanya.

Sementara itu, dia menyangkal dakwaan melarikan diri daripada berjumpa dengan pihak berkuasa dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Saya tidak ke mana-mana kerana masih ada di kampung ini dan menjalankan kerja membeli getah daripada penduduk kampung seperti biasa. Saya bersedia berjumpa dengan sesiapa terma­suklah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.