Aktivitis budaya negeri ini, Mohd. Sulhie Yusoff berkata, peranan yang dimainkan menerusi laporan pemberitaan dan rencana kedua-dua akhbar telah mengangkat seni persembahan itu dari peringkat kampung ke pentas antarabangsa.

"Sebagai salah seorang pejuang dalam seni ini saya cukup terkesan dengan sumbangan yang diberikan oleh kedua-dua Utusan Malaysia dan Kosmo!

"Penulisan berita dan laporan rencana telah membuka lembaran baharu dalam seni kita apabila masyarakat luar sudah mula sedar serta tidak lagi memandangkan ‘sinis’ terhadap kami,” katanya.

Mohd. Sulhie memberitahu, dia berterima kasih kepada kedua-dua akhbar itu yang banyak memberikan sokongan kepada penggerak dikir barat dan wayang kulit.

Sehubungan itu, dia berharap rakyat dapat terus memberikan sokongan padu kepada kedua-dua akhbar ini untuk terus diterbitkan.

"Utusan Malaysia dan Kosmo! perlu terus dipertahankan sebagai wadah dalam mengangkat lagi seni warisan bangsa Melayu,” ujarnya.

Mohd. Sulhie yang popular dengan watak Sudin dalam drama bersiri Ripin Mugha Batu berkata, setiap hari dia menjadikan kedua-dua akhbar ini sebagai ‘sarapan pagi’ pertama sebelum mencari rezeki. -UTUSAN ONLINE