Pengurus pusat berkenaan, Mohd. Rahim Mat Ali berkata, setakat ini beberapa produk tempatan termasuk makanan ringan berasaskan hasil pertanian dihantar ke China sebagai percubaan pertama memasarkannya di luar negara.

Menurutnya, produk berkenaan dua kali dihantar hanya dalam jumlah RM30, 000 sebagai langkah permulaan dan mendapat sambutan yang baik terutama pengguna yang gemar membeli barangan halal.

"Setakat ini kita hanya menumpang Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mempromosikan produk IKS tempatan ke luar negara," katanya ketika ditemui di tapak Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan (HPPNK) di Pantai Bisikan Bayu, dekat sini, semalam.

Seramai 23 peserta IKS yang berdaftar dengan pusat itu mengambil bahagian di gerai pameran dan jualan HPPNK yang berlangsung selama lima hari, berakhir semalam.

Mohd. Rahim berkata, bagi strategi pemasaran tempatan, pihaknya lebih fokus mempromosi produk di pelbagai karvinal perniagaan seluruh negara, kedai dan pasar raya besar yang berdekatan.

Selain itu, katanya, unit teknologi maklumat Pusat IKS turut mempromosikan barangan menerusi pelbagai aplikasi media sosial serta mencari tempat di laman sesawang perniagaan seperti Lazada atau Shopee.

"Setakat ini sebanyak 47 peratus usahawan berjaya memasarkan produk mereka secara dalam talian dan kita akan membantu dari aspek pembungkusan yang lebih menarik.

"Pusat IKS Kelantan yang beroperasi di pusat bandar ini adalah juga sebagai pusat pengumpulan produk, pemerosesan semula dan pemasaran yang banyak membantu usahawan berjaya mengetengahkan produk mereka kepada pengguna.

"Snek Gtah dan kuih buah rotan berjaya dipasarkan di China tahun ini, manakala 38 produk lain seperti kicap, rempah sup, kerepek kerepek ubi kayu dan lain-lain berjaya dijual di pasar raya besar di negeri ini," katanya.

Menurutnya, nilai keseluruhan hasil jualan usahawan di bawah pusat IKS ini sepanjang Februari hingga Julai tahun ini sudah mencecah RM1. 5 juta.

Katanya, kejayaan ini juga bermula dengan bantuan pinjaman agensi yang berkaitan dan bimbingan teknikal serta kepakaran agensi pertanian. - UTUSAN ONLINE