Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan secara terperinci menerusi mesyuarat kerajaan negeri.

“Hari ini majlis mesyuarat kerajaan negeri telah berbincang dengan begitu terperinci mengenai masalah pawagam. Kita tiada pawagam sudah lebih 30 tahun dan tiada apa- apa masalah kerana banyak sumber kalau sekadar ingin menonton cerita.

“Kita boleh mengenakan syarat ketat kepada pawagam, namun jika kita buka ruang, penguatkuasaan terhadap pelanggaran syarat juga akan berdepan masalah dan perkara itu perlu diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Izani berkata, membuka pawagam juga boleh mengundang masalah gejala sosial terutama golongan remaja yang akan pulang sehingga lewat malam.

“Kita boleh mengawal dalam pawagam, namun ketika anak-anak keluar dan pulang ke rumah selepas pukul 12 tengah malam, ini akan mengundang banyak masalah gejala sosial.

“Malah tahun ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob telah meletakkan fokus untuk mengurangkan gejala sosial. Jadi, kerajaan memutuskan tiada pawagam di seluruh Kelantan,” katanya.

Semalam, Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mencadangkan kerajaan negeri membenarkan pembukaan pawagam patuh syariah di negeri ini selepas operasinya dihentikan kira-kira 20 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE