Ninie Alwanis Nor Azli, 20, dari Kampung Panchor, Gunung, ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang pengurusan di universiti berkenaan namun gagal menyediakan wang bagi melunaskan bayaran pendaftaran awal sebanyak RM1,674 sebelum 28 Ogos ini.

Ibunya, Shamsila Muhammad, 48, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu hanya bergantung harap kepada simpati rakan untuk membantu dan terpaksa mengabaikan peluang belajar di menara gading kerana keluarga tidak mampu.

Menurutnya, dia yang bekerja di kedai makan manakala suaminya, Nor Azli Mohd. Arshad, 51, bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu tidak mampu untuk menyediakan bayaran tersebut.

"Kami juga terpaksa menyara keperluan beberapa lagi anak iaitu Nabila Harmiza, 22, yang masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam dan Naqib Hakim, 15, yang masih belajar di SMK Sri Gunung.

“Anak sulung, Nabil Harisa, 24, baru menamatkan pengajian diploma di UiTM Kelantan baru bekerja di sebuah cafe di Kuala Lumpur.

"Sebelum ini kami turut diduga apabila anak bongsu, Mohd. Nabiq Haikal yang meninggal dunia awal tahun kerana penyakit paru-paru kronik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian wang sumbangan orang ramai oleh Pengerusi Kelab Volenteer I Care (VIC), Muhammad Afiq Aiman Sukry, di rumahnya di Kampung Panchor, Gunung dekat sini, hari ini.

Shamsila berkata, setakat ini dia hanya memiliki wang dalam simpanan sebanyak RM300 selain sumbangan VIC sebanyak RM500.

Menurutnya, kelengkapan untuk ke universiti juga masih belum mencukupi, sekadar membeli dan mengurus keperluan yang lebih penting.

"Sebelum ini kami menerima bantuan JKM bagi pihak arwah Mohd. Nabiq haikal berjumlah RM300 sebulan selain bantuan dari VIC berupa makanan, susu dan keperluan lain," katanya.

Sementara itu, Muhammad Afiq Aiman ketika ditemui berkata, pihaknya turut menyalurkan bantuan peralatan sekolah dan membaiki atap rumah keluarga berkenaan bagi membolehkan mereka sekeluarga berada dalam keadaan yang selesa.

Katanya, VIC yang membantu asnaf sentiasa melakukan pemantauan susulan selain khidmat nasihat dalam usaha membebaskan keluarga dari kepompong kemiskinan.

"Kami hanya menerima sumbangan orang ramai sebanyak RM500 selepas dana kutipan tamat pada hari ini. Keluarga ini masih memerlukan sedikit lagi bantuan untuk tujuan berkenaan.

" Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Shamsila menerusi talian 0109251433 untuk meringankan bebanan mereka menyara pengajian anak-anak," katanya. - UTUSAN ONLINE