Dalam masa sama, rasa rendah diri turut menyelubungi anak-anak kepada pasangan penjaja kerepek jalanan yang tinggal di Kampung Sireh, di sini kerana tidak pernah berpeluang belajar di mana-mana sekolah akibat tiada surat beranak.

Walau bagaimanapun, rutin pagi mereka berubah secara drastik bermula hari ini apabila diterima menjadi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sireh, hasil bantuan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kota Bharu.

IMAN AL-HAQIM Iman Al-Syafiq dan Iman Nur Qalesya dikerumuni rakan-rakan baharu mereka ketika mendaf

IMAN AL-HAQIM Iman Al-Syafiq dan Iman Nur Qalesya dikerumuni rakan-rakan baharu mereka ketika mendaftar masuk di SK Kampung Sireh di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE/ ZAAIN ZIN

Paling bersemangat memulakan persekolahan hari ini ialah Iman Al-Haqim atau panggilan manjanya Akim memandangkan dia paling sulung dan sudah memasang impian mahu ke sekolah sejak lima tahun lalu.

“Seronoknya, dapat juga masuk sekolah. Lambat sikit tak apa asalkan Akim dapat belajar macam budak lain,” kata kanak-kanak itu ketika ditemui selepas majlis mengalu-alukan kehadiran dia dan adik-adiknya di SK Kampung Sireh, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri merangkap Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kota Bharu, Mohd. Ezani Awang.

IMAN AL-HAQIM, Iman Al-Syafiq dan Iman Nur Qalesya bersama ibu dan bapa mereka ketika mendaftar masu

IMAN AL-HAQIM, Iman Al-Syafiq dan Iman Nur Qalesya bersama ibu dan bapa mereka ketika mendaftar masuk di SK Kampung Sireh di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE/ ZAAIN ZIN

Sementara itu, bapa kepada tiga beradik terbabit, Ibrahim Mohd. Noor, 36, memberitahu, masalah menimpa anak-anaknya berpunca daripada tindakan dia dan isteri, masing-masing berasal dari Bachok dan Tanah Merah nekad berkahwin di Narathiwat, Thailand kerana faktor keluarga.

Bagaimanapun, mereka gagal mendaftarkan perkahwinan tersebut di negara ini gara-gara tidak mampu membayar denda yang tinggi berikutan gajinya sebagai buruh terlalu kecil ketika itu.

“Nasib malang kami sekeluarga bertambah apabila saya menghidap penyakit berkaitan usus dan terlantar sakit bertahun-tahun lamanya. Ketika itu hanya isteri mencari rezeki dengan menjaja kerepek di jalanan.

“Kini keadaan saya bertambah baik dan sudah boleh keluar menjaja bersama isteri. Cuma pendapatan hasil menjaja masih tidak seberapa menyebabkan kami gagal membayar denda sehingga sekarang,” katanya.

Ibrahim memberitahu, dia memberanikan diri bertemu pelbagai pihak bagi membantu mencari jalan menyekolahkan ketiga-tiga anaknya demi masa depan mereka namun tidak menerima sokongan sewajarnya daripada pihak terbabit.

“Baru-baru ini, saya berkongsi masalah kami dengan wakil Pemuda Amanah Kota Bharu dan beliau berjanji untuk bantu anak-anak saya. Alhamdulillah, anak-anak kini sudah dapat bersekolah manakala surat beranak mereka pula kini dalam proses,” katanya. - UTUSAN ONLINE