Sarimah Mat Ail, 49, berkata, anak bongsunya, Tuan Muhammad Faiz Tuan Mansor, pada mulanya mengalami demam panas sebelum diserang kekejangan pada Jun lalu.

Katanya, ketika menerima rawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), keadaan anaknya semakin teruk dan tidak sedarkan diri sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Pada masa itu, dia hanya bergantung kepada mesin oksigen dan dirawat di ICU selama 28 hari sebelum dibenarkan pulang.

"Melihat keadaannya kini yang terlantar kerana mampu bergerak amat meruntum hati saya memandandangkan sebelum ini, dia adalah seorang anak yang ceria dan aktif," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tiong, Kampung Rupek di sini hari ini.

Sarimah berkata, dia memerlukan kira-kira RM1,500 sebulan untuk keperluan Faiz seperti lampin pakai buang serta susu khas.

"Dia kini hanya bergantung kepada susu khas dan memerlukan penjagaan rapi terutama bahagian lehernya yang ditebuk untuk mengelak jangkitan kuman di bahagian paru-paru.

"Setiap hari, saya perlu mencuci dan menyedut keluar kahak di bahagian tekaknya dengan menggunakan alatan khas," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Pui Tiong Lam berkata, pihaknya akan berusaha untuk membantu Faiz dan meringankan beban keluarga berkenaan.

"Hari ini, saya mewakili KKCK datang menziarahi Faiz dan menyampaikan sedikit sumbangan berupa susu khas, lampin pakai buang serta beberapa keperluan lain.

"Selepas ini, kita akan berusaha membantunya untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik)," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga berharap agar pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tiong turut sama membantu.

Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh dibuat melalui akaun BSN milik Sarimah bernombor

0308041100003846. - UTUSAN ONLINE