Seorang penduduk, Ani Ong, 35, berkata, sudah lebih dua minggu, suaminya bersama dua lagi anak lelakinya masih ditahan di PPS Etnobotani selepas keluar dari Hospital Gua Musang kerana jangkitan demam campak.

Katanya, sehingga kini sudah hampir dua bulan dia bersama lima lagi anak belum dapat berjumpa suami dan dua lagi anak.

“Anak-anak saya yang masih kecil menangis teringat bapanya yang dikuarantin di PPS dan tidak tahu bila boleh balik.

“Kami berasa sedih juga apabila lama tak jumpa suami dan dua anak. Kalau suami ada bersama, dia boleh membantu mencari hasil hutan dan lauk pauk.

“Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga belum memaklumkan bila suami bersama dua anak dapat keluar daripada PPS walaupun keadaan mereka dikatakan sudah sihat sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ama Alim, 32, pula berkata, kampung Kuala Koh masih sunyi kerana sebahagian besar penduduk masih dikuarintin di PPS dan belum dibenarkan pulang ke rumah.

Katanya, kini hanya tinggal sekitar 17 orang penduduk berada di kampung yang bebas daripada jangkitan demam campak.

“Penduduk di kampung ini juga sudah disuntik vaksin baru-baru ini bagi mengelak diserang penyakit berjangkit

“Kami juga mengharapkan ahli keluarga dan rakan kami yang dikuarantin dapat dibenarkan pulang secepat mungkin kerana ahli keluarga rindukan mereka,” katanya.

Sejak 18 Jun lalu, PPS Etnobotani telah dibuka sebagai penempatan sementara Orang Asli.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kem PLKN Etnobotani digunakan sebagai PPS bagi menempatkan Orang Asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka. - UTUSAN ONLINE