Kedatangan bulan Ramadan kali ini memberi limpahan rezeki buat keluarga Haida Abdullah, 32, bersama suami, Auseng Ngoh, 35, serta tiga anaknya apabila pelbagai pihak mengunjungi bangsal buruk yang didiami mereka bagi menyampaikan sumbangan.

Guru Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2, Nor Azila Sidi Ahmad, yang mewakili warga pendidik sekolah itu berkata, mereka bersimpati dengan masalah kehidupan lima beranak itu.

Katanya, warga sekolah terkejut apabila dapat melihat sendiri bangsal buruk didiami mereka tanpa dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan bekalan air.

“Kami terharu dan beramai-ramai datang untuk menghulur sumbangan terutama hari ini adalah hari pertama menyambut bulan Ramadan.

“Kita juga berharap hasil sumbangan yang mereka terima dapat meringankan beban hidup dan menggembirakan tiga anak pasangan itu yang masih bersekolah,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Pengerusi Jiran Wanita KRT Batu Papan, Zanariah Abdul Rahim pula berkata, mereka berasa bertanggungjawab untuk menghulurkan sumbangan kepada lima beranak itu.

Katanya, sebagai masyarakat setempat mereka perlu mengambil berat berhubung perkara yang menimpa keluarga berkenaan.

“Rakyat Malaysia begitu prihatin menghulurkan bantuan selepas membaca kisah keluarga ini apabila memberi bantuan kewangan serta barangan keperluan kepada keluarga terbabit. Kita berharap mereka terus tabah menghadapi ujian hidup ini,” katanya.

Pengerusi KRT Kampung Kundur, Mohd. Salmi Abu Hanifah berkata, bulan Ramadan ini memberi peluang melakukan kerja amal bagi membantu mereka yang hidup dalam kesusahan.

“Kita bersimpati dengan keadaan hidup keluarga itu dan berharap pihak kerajaan memberi bantuan sewajarnya termasuklah menyediakan kediaman yang lebih sempurna,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kisah lima beranak menjadikan sebuah bangsal buruk sebagai kediaman kerana kemiskinan hidup.

Haida bersama suami, Auseng dan tiga anak terpaksa menjadikan bangsal buruk beratapkan zink bocor, berdinding separuh zink yang ditutup bersama kain serta kanvas dan berlantaikan papan kayu reput sebagai tempat tinggal sejak lebih setahun lalu. -UTUSAN ONLINE