Pengerusi KUWAK, Nor Ariati Salleh berkata, untuk permulaan, sebanyak lima buah sekolah telah dipilih sebagai perintis yang akan melaksanakan projek pertaninan mengikut pilihan masing-masing.

Katanya, projek pertama ini akan dimulakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seribong di sini pada Jun ini yang membabitkan penanaman cili.

“Selain mendidik anak-anak dalam bidang pertanian, projek ini juga salah satu usaha untuk menjana pendapatan pihak sekolah.

“Malah program ini juga adalah seiring dengan hasrat kerajaan yang ingin mewujudkan semula subjek sains pertanian bermula di sekolah rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan sempena pelancaran Projek Sekolah Angkat ‘Tunas Usahatani’ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Projek Tunas Usahatani, Fardilla Din dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Seribong, Wan Mohamad Zikri Wan Mohamad.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 100 kampit beras, gula dan minyak masak diagihkan kepada golongan asnaf sebagai persediaan menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Nor Ariati berkata, untuk projek ini, pihaknya akan menyediakan keperluan dan peralatan bernilai RM1,500 bagi setiap sekolah.

“Kita juga akan mendapatkan khidmat nasihat dengan jabatan-jabatan pertanian dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi memastikan projek ini berjaya.

“Sekarang ini, kita sedang mengumpul dana dan kita mengalu-alukan mana-mana pihak dapat bersama dengan kita untuk membantu memberikan sumbangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE