Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Nadma, Zakaria Shaaban berkata, kejayaan mengadakan gotong-royong bersih kampung itu hasil kerjasama semua dan menjadi titik permulaan kepada Orang Asli suku kaum Bateq menjaga kebersihan.

Beliau berkata, program gotong-royong perdana yang pertama kali diadakan itu diketuai Nadma, Pejabat Timbalan Perdana Menteri bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Kita melihat semua agensi kerajaan terbabit perlu memantau secara berterusan berhubung kebersihan kampung ini bagi mengelak tragedi jangkitan demam campak berulang.

“Kita yakin jika masalah itu dapat ditangani dengan berkesan dapat menyelamatkan kaum berkenaan daripada sebarang jakitan penyakit berjangkit,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Dr. Mohamad Salmi Mohamad Sohod dan Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid.

Tambah Zakaria, bagi pembangunan segera untuk Orang Asli di Kampung Kuala Koh pula sebuah telaga tiub bagi kemudahan air bersih jangka panjang telah dibina.

Katanya, kemudahan telaga tiub itu sudah siap dilakukan dan sekarang ini di peringkat ujian kualiti air sebelum dapat digunakan penduduk.

Sementara itu, Hashim Alang pula berkata, gotong-royong itu untuk memberi semangat baharu kepada penduduk Orang Asli.

Katanya, ianya diadakan sebelum 163 penduduk Orang Asli yang masih dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara Entobotani dibenarkan pulang dalam masa terdekat ini.

“Kita gembira dengan kerjasama dan sambutan pelbagai pihak untuk bersama-sama membersihkan perkampungan Orang Asli Kuala Koh.

“Kita juga berharap masyarakat Orang Asli menitikberatkan kebersihan diri dan persekitaran selepas ini agar krisis jangkitan penyakit tidak berulang,” katanya. - UTUSAN ONLINE