Wartawan sambulan Berita Harian, Syaherah Mustafa, 27, dari Panji berkata, dia dan suaminya, Ahmad Fikri Mohamad, 29, mengalami cirit-birit dan muntah sejak malam kelmarin dan mengesyaki berpunca daripada lauk ayam pedas yang dibelinya dari sebuah gerai yang menjual juadah berbuka puasa di Pasar Gok Kapur di sini.

Menurutnya, dia bersama seorang rakan pergi ke pasar tersebut pada petang Isnin dan rakannya itu yang membeli lauk jenis lain dari gerai yang sama turut mengalami masalah sama walaupun tidak seteruknya.

“Semasa membeli lauk ayam pedas itu saya sudah rasa pelik bila melihat pemilik gerai mengambil ketul ayam yang berada jauh daripadanya.

“Saya beli dua ketul ayam dan semasa hendak berbuka saya baru perasaan isi salah satunya yang kebiruaan, saya cubit sedikit dari ketul ayam satu lagi tapi setelah memakannya saya meludahkannya semula kerana bau dan rasa yang busuk, suami juga melakukan sama seperti saya.

“Sebaik masuk waktu Isyak, saya dan suami mula berulang alik ke tandas sehingga tidak dapat tidur. Namun berbanding suami dan rakan, saya yang paling teruk terjejas sehingga terpaksa mengambil cuti sakit sejak semalam,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Syaherah berkata, keadaanya semakin longlai hari ini kerana masih mengalami cirit-birit dan muntah dan terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Pasir Mas awal petang ini.

“Setakat ini saya sudah dimasukkan dengan sebotol air untuk proses pemulihan.

“Saya berharap tindakan akan diambil ke atas gerai berkenaan supaya menjadi pengajaran kepada peniaga lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE