rumahnya menerusi Program Jiwa Murni APM-Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Muhamed Imeran Yunus, 44, berkata, tanpa bantuan ini, dia pasti tidak dapat merasa untuk tinggal di rumah baharu memandangkan keadaannya kini yang tidak sihat dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak.

Katanya, keadaan rumahnya sebelum ini agak uzur selain tandas berada di luar rumah menyebabkan dia berusaha untuk membaikpulihnya sendiri sedikit demi sedikit.

"Walau bagaimanapun, saya hanya sempat menyiapkan bahagian dapur sahaja sebelum jatuh sakit pada Mei tahun lalu kerana menderita kencing manis sehingga merosakkan buah pinggang.

"Waktu itu, saya tidak mampu untuk bekerja dan terpaksa mengambil cuti sakit dan sehingga sekarang saya masih lagi memerlukan rawatan hemodalisis setiap tiga kali minggu," katanya ketika ditemui Program Jiwa Murni APM-POKB di rumahnya di Kampung Chengal, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Yang turut hadir, Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamed dan Pengarah APM negeri, Zainuddin Hussin

Muhamed Imeran berkata, sejak jatuh sakit, isterinya, Siti Zaharah Mat Kail, 40, banyak membantu dengan membuat kuih-muih bagi menambah hasil pendapatan.

Sementara itu, Roslan berkata, ini adalah kali pertama Program Jiwa Murni APM-POKB membantu membina rumah dengan bantuan tunai berjumlah RM18,000.

Menurutnya, sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan bersama pegawai dan anggota bersekutu APM selain bantuan daripada beberapa agensi lain antaranya POKB, Politeknik Kota Bharu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), APM Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Perak.

"Bantuan ini disalurkan melalui Tabung Amanah Pertahanan Awam yang dikutip melalui sumbangan anggota APM menerusi pelbagai program.

"Melalui hasil kutipan ini, kita terpanggil untuk bantu Muhamed Imeran yang sebelum ini banyak berjasa dan berkhidmat pada negara melalui APM. Jadi kita bantu menyiapkan rumahnya," katanya.

Tambah beliau, selain membina rumah, Muhamed Imeran turut menerima sumbangan perkakasan elektrik seperti peti sejuk,televisyen dan barangan makanan harian. - UTUSAN ONLINE