Pertandingan azan kategori dewasa itu menyaksikan pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Gua Musang, Muhamad Rafiq Norizanee, 14, dapat mengalahkan peserta yang terdiri daripada golongan yang lebih tua.

Seramai 25 peserta mengambil bahagian pertandingan azan. Tempat pertama dimenangi oleh Muhamad Rizuan Baharuddin, 45, dan tempat ketiga, Salahuddin Ismail, 37.

Pertandingan azan pertama kali diadakan itu sempena Program Kacau Bubur Asyura Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim.

Menurut ibu Muhamad Rafiq, Suriani Abdul Rahman, 37, anaknya itu minat mengalunkan azan sejak di sekolah rendah lagi dan belajar dengan beberapa guru agama.

Katanya, malah anak sulung dari empat beradik itu sentiasa berminat menyertai pertandingan keagamaan.

“Saya bersyukur apabila anak mempunyai kelebihan mengalunkan azan dan membaca al-Quran pada usia muda lagi. Saya berharap dia menjadi contoh kepada anak remaja lain.

“Muhamad Rafiq sebelum ini telah dihantar belajar agama di pondok Pasir Tumbuh dan di pondok moden Al-Amin, Pengkalan Chepa, Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Syahbuddin berkata, pertandingan azan itu diadakan sempena kemeriahan program kacau bubur asyura peringkat DUN Galas.

Katanya, pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM) bersama Pusat Khidmat DUN Galas mengagihkan 1,500 bekas bubur asyura yang dimasak secara bergotong-royong kepada golongan asnaf dan penduduk setempat di sini.

“Program itu mencapai matlamat apabila permuafakatan terjalin kerana terdapat dalam kalangan penduduk Orang Asli turut membantu mengacau bubur asyura.

“Program memasak bubur asyura yang melibatkan tujuh lokaliti setempat dan tiga badan bukan kerajaan (NGO) ini memperlihatkan semangat bergotong-royong iaitu saling bantu membantu,” katanya. - UTUSAN ONLINE