Perkhidmatan percuma ditawarkan Mohd. Zafran itu pada mulanya dimuat naik ke laman Facebook miliknya malam tadi, sebelum menjadi tular dalam kalangan warga net hari ini.

Menurut Mohd. Zafran, perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma ini pernah dibuat musim raya tahun lalu iaitu dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan tahun ini, dia mahu meneruskan khidmat sosial itu.

“Tujuan saya menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma ini adalah untuk membantu meringankan beban anak-anak perantau yang pulang beraya di kampung.

“Saya menyediakan perkhidmatan percuma ini bermula 3 Jun ini sehingga pagi hari Raya Aidilfitri. Jadi, jika kenderaan mereka mengalami kerosakan pada tempoh berkenaan, bolehlah menghubungi saya, insya-Allah saya akan berusaha membantu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Mohd. Zafran berkata, pada tahun ini, pihaknya akan menyediakan dua buah lori tunda untuk memberi perkhidmatan berkenaan bermula dari Kuala Krai sehingga ke Kota Bharu.

“Tahun lalu, saya hanya menyediakan sebuah lori tunda dan sempat membantu kira-kira 26 buah kenderaan meskipun menerima begitu banyak permintaan.

“Oleh itu, tahun ini saya akan menambah kepada dua buah lori tunda bagi memenuhi permintaan," katanya.

Tambah beliau, dengan penambahan lori tunda ini, diharap dapat memberi perkhidmatan yang terbaik untuk mereka yang memerlukan.

“Pada tahun ini juga, saya akan dibantu oleh enam hingga lapan orang pekerja bagi melancarkan perkhidmatan,” katanya.

Anak-anak perantau yang ingin mendapatkan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma boleh menghubungi Zeck Zoro Towing di talian 013-4885886 atau 09-9665886.- UTUSAN ONLINE