Ab. Rahman Awang Hamat, 47, berkata, walaupun nelayan darat hanya kerjaya di musim tengkujuh sahaja namun itu adalah pilihan terbaik yang ada untuk menambah pendapatan keluarga.

Menurutnya, daripada terus berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa di rumahnya lebih baik turun sungai menahan pukat.

“Dalam sehari saya mampu memperoleh pendapatan antara RM50 hingga RM100 hasil jualan ikan darat.

“Bagaimanapun bergantung kepada hasil tangkapan,” katanya di sini hari ini.

Ab. Rahman memberitahu, kesemua hasil tangkapan itu dijual di tepi Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas seawal pukul 8 pagi.

Katanya, antara hasil tangkapan ikan darat yang dijual ialah baung, puyu, haruan, keli, sepat dan bermacam-macam lagi.

“Ikan darat ini merupakan rezeki terpijak buat golongan penoreh getah di kawasan Rantau Panjang setiap kali musim tengkujuh,” ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat lebih 10 gerai yang menjual ikan darat di laluan berkenaan. - UTUSAN ONLINE