Masalah kewangan menyebabkan Surhaya Musa, 31, dan suaminya, Amran Roseh, 37, bersama anak mereka, Muhammad Faris Hakim, 12; Nur Alisha Qaisara, 7, dan Muhammad Ammar Hakim, 5, juga terpaksa menjadikan sebuah pondok usang sebagai kediaman mereka sejak 12 tahun lalu.

Surhaya berkata, dia tidak mampu menyediakan lauk yang sedap khususnya ayam goreng untuk hidangan walaupun beberapa kali anaknya mengidam untuk makan masakan itu ketika menyambut awal Ramadan lalu.

SURHAYA MUSA bersama tiga anaknya di hadapan pondok usang tempat mereka berteduh di Kampung Lepan Ja

SURHAYA MUSA bersama tiga anaknya di hadapan pondok usang tempat mereka berteduh di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN ONLINE

Katanya, pada cuti hujung minggu, anak sulungnya akan memancing ikan di sungai untuk dijadikan lauk berbuka puasa dan bersahur.

“Suami saya tidak ada kerja tetap. Ambil upah buat apa saja yang orang kampung minta. Upah tak banyak sekitar RM300 sebulan.

“Saya pula tidak boleh membantu suami menambah rezeki kerana menghidap penyakit asma dan sawan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Surhaya berkata, pondok yang didiami keluarga mereka itu dibina suaminya sendiri menggunakan kayu terbuang di atas tanah mentuanya kerana tidak mampu membina rumah yang sempurna disebabkan miskin.

Katanya, setiap kali hujan lebat pondok mereka akan basah akibat terkena tempias air yang masuk melalui bumbung dan dinding pondok yang bocor.

“Setiap kali hujan kami terpaksa berpindah tempat tidur kerana air hujan masuk di segenap penjuru pondok yang sempit menunggu masa hendak runtuh.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali memohon bantuan kediaman yang selesa daripada pihak berwajib tetapi semuanya tidak berjaya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik Surhaya bernombor 03063020361942 atau hubunginya di talian 017-9462156. - UTUSAN ONLINE