Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelanco­ngan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, satu jawatankuasa khas telah dibentuk untuk menilai lebih lanjut perkara itu.

"Kita memang ada buat penilaian terhadap Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan termasuk persembahan Makyung dan panel penilaian ini terdiri daripada mufti serta ulama.

“Kita mahu memastikan ia persembahan yang patuh syariah. Insya-Allah jika menepati syarat, kita tidak ada halangan tetapi jika bertentangan syariah, (larangan) itulah pendirian kita kerajaan Kelantan,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Syahbuddin berta­nyakan pendirian kerajaan Pas Kelantan berhubung gesaan wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya menarik balik pengharaman Makyung dan wayang kulit demi kelangsungan seni warisan budaya Melayu.

Menurut Karima Bennounce yang merupakan Pelapor Khas PBB dalam bidang budaya, dalam situasi sekarang, jika penggiat kesenian tersebut me­ninggal dunia, seni itu juga akan ‘mati’ bersama-sama mereka.