Haida Abdullah, 32, dan suaminya, Auseng Ngoh, 35, terpaksa menjadikan bangsal daif dengan atap bocor, berdinding separuh zink yang ditutup bersama kain serta kanvas dan berlantaikan papan kayu reput.

Pasangan itu bersama anak mereka, Muhammad Hafiz Haikal, 12; Nur Asyikin, 11, dan Muhammad Syawal Fitri, 7, juga terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air.

Haida berkata, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di bangsal usang yang dibina suaminya selepas tidak mampu tinggal di rumah sewa kerana pendapatan suami tidak menentu setiap bulan.

Katanya, suaminya hanya mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan.


Haida Abdullah melayan tiga anaknya untuk makan selepas pulang dari sekolah.

“Kami mempunyai tiga anak yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gua Musang (SKGM) berumur antara tujuh hingga 12 tahun dan pendapatan sekadar cukup untuk keperluan dapur serta perbelanjaan anak sekolah.

“Walaupun kehidupan kami miskin dan serba kekurangan, tetapi kami mengutamakan pendidikan anak apabila menghantar mereka ke sekolah untuk menuntut ilmu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Cerita Haida lagi, dia juga terpaksa memberi bekal nasi yang dimasak sendiri untuk tiga anaknya untuk dibawa ke sekolah kerana tidak mampu menyediakan wang belanja setiap hari.

Katanya, dia juga terpaksa bangun awal pagi untuk membawa tiga anak ke sungai untuk mandi kerana bangsalnya tidak mempunyai bilik air dan bekalan air.

“Setiap malam kami juga mengajar tiga anak membaca dan menulis sambil diterangi lampu suluh kecil kerana tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik. Lebih menyedihkan apabila hujan kerana terpaksa tidur dalam keadaan basah kerana atap bocor.


Haida Abdullah terpaksa menghantar dan mengambil tiga anaknya menggunakan motosikal ke sekolah setiap hari.

“Sebelum ini kami pernah beberapa kali memohon bantuan rumah daripada kerajaan, namun tiada maklum balas. Kami berharap pihak kerajaan membuat pertimbangan semula berhubung perkara itu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Malayan Banking Berhad (Maybank) milik Haida bernombor 153047919139 atau menghubunginya ditalian 0109197154. - UTUSAN ONLINE