Landak kecil dengan nama saintifiknya, Erinaceus europaeus itu bernilai RM100 seekor dengan berat timbangan 700 hingga 900 gram dikatakan jinak dan manja dengan pemiliknya.

Ahli persatuan itu, Mohd. Iman Abdul Safuan Nazmi, 19, berkata, landak mini mudah dikenali berdasarkan tekstur duri di badannya yang merupakan rambut berongga yang keras.

Menurutnya, durinya tidak beracun atau berkait selain tidak seperti bulu landak jenis porcupine yang mudah terlepas dari tubuhnya.

“Haiwan ini mempertahankan dirinya dengan menggulung badan menjadi bebola, sehingga semua duri menghadap keluar dan lawannya tidak dapat menyerang.

“ Ia boleh dibelai dan dipegang kerana duri-durinya tidak tajam, malah rasa seperti memegang sikat rambut,” katanya ketika ditemui di gerai pameran hari ini.

Mohd. Iman berkata, landak ini memiliki sifat “nocturnal” atau aktif pada malam hari, sedangkan pada siang hari ia cenderung menyembunyikan diri di tempat-tempat gelap.

Katanya, haiwan ini kini menjadi kegilaan ramai pencinta binatang yang mahu bertukar selera daripada memelihara tikus jinak kepada landak yang lebih kelihatan anggun.

“Malah haiwan ini juga turut dijual secara dalam talian. Ia mampu menjana pendapatan penternaknya kerana mereka boleh menjual baka muda atau anak berdasarkan permintaan yang tinggi sejak kebelakangan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE