Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman berkata, kesemua 595 buah sekolah menengah dan rendah termasuk sekolah yang menempatkan pelajar Orang Asli diminta mewujudkan sudut dan kelab mengaji al-Quran agar budaya membaca dan memahami kitab suci itu disemarakkan di kalangan pelajar.

“Kita mahu di setiap sekolah ada tempat untuk mengaji al-Quran, sama ada surau sedia ada atau bilik yang sesuai atau mana-mana sudut di sekolah, kalau ada pengetua atau guru besar yang rasakan perkara ini boleh dilaksanakan segera kita alu-alukan.

“Kita juga mencadangkan diwujudkan kelab mengaji al-Quran yang mana pelajar secara bergilir mengaji di kawasan sekolah sama ada sebelah pagi, petang ataupun malam untuk penghuni asrama supaya aktiviti ini menjadi amalan seha­rian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kelantan Student Quran Hour di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di sini hari ini.

Program anjuran bersama Persatuan Rumah Ngaji Nege­ri Kelantan (PRNNK) dengan Jabatan Pendidikan negeri itu diadakan secara serentak de­ngan solat hajat perdana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelancaran Rumah Ngaji di sekolah negeri ini.

Sementara itu, Muhammad Zahari berkata, lebih 3,000 pelajar dari lebih 200 sekolah terdiri daripada 177 sekolah menengah Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), swasta dan pusat-pusat tahfiz hadir pada program julung kali tersebut.