Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, 'hal rumahtangga' dalam PKR itu boleh ditonton semua orang untuk membuat pentafsiran.

 "Perkara dalam rumah orang, saya tonton dari luar sahajalah, saya nak komen banyak tidak baik.

 "Hal rumahtangga orang ini kita serah kepada masyarakat buat pentafsiran," katanya selepas merasmikan bangunan Wahdah Temasek hasil wakaf masyarakat Singapura bernilai RM1.5 juta di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di Nilam Puri di sini hari ini.

 Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Kias, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd Zin dan Pengarah Urusan Pusat Kursus Pengajian Al Quran Wal Qiraat ZAG yang juga wakil pewakaf dari Singapura, Zainab Abdul Ghani.

 Semalam, Anwar dalam satu kenyataan menggesa supaya Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi supaya berundur sekiranya video seks yang dikaitkan dengan dirinya adalah tulen.

 Bagaimanapun maklum balas Mohamed Azmin kepada gesaan Anwar tersebut mengejutkan banyak pihak apabila beliau pula dengan tegas menyuruh Anwar supaya melihat diri sendiri dalam cermin.

 Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyerahkan kepada pertimbangan Mohamed Azmin sendiri sama ada ingin mengambil cuti atau meneruskan tugas seperti biasa.

 Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan semua pihak supaya menjaga kestabilan politik bagi mengelak negara terjebak dalam konflik yang akhirnya akan membawa kepada kemusnahan.

 "Kestabilan politik amat mustahak untuk negeri dan negara, ia boleh diganggu gugat sama ada oleh anasir luar mahupun (masalah) dalaman. 

 "Apa-apa pun berlaku sesuatu perkara yang tidak menyenangkan rakyat, yang menimbulkan rasa kurang yakin, ia akan mengakibatkan krisis yang tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang aman,"katanya. - UTUSAN ONLINE