Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, setakat ini sebanyak 1,600 batang tebu telur dieksport ke Singapura dari negeri ini setiap hari.

Beliau berkata, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) membantu para petani tempatan untuk memasarkan hasil tanaman tersebut sehingga ke luar negara.

"Tebu telur mendapat permintaan yang tinggi dari beberapa buah negara dari Timur Tengah. Justeru, kita galakkan petani menanam tebu telur kerana prospeknya sangat baik dan setakat hari ini penanamannya hanya membabitkan tanah seluas 46 hektar.

"Tahun depan kita (kerajaan) menyasarkan sekurang-kurangnya 230 hektar kawasan ditanam tebu telur bagi meningkatkan hasil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Usahawan Tebu di Dewan Utama Majlis Daerah Pasir Puteh, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKPNK, Engku Rujhan Engku Ismail. Kursus berkenaan membabitkan 40 peserta projek penanaman tebu telur yang turut menerima bantuan benih dan baja.

Tuan Mohd. Saripudin berkata, peserta mampu meraih pendapatan sebanyak RM20,000 bagi setiap 0.46 hektar kawasan tebu telur yang diusahakan.

"Setiap 0.46 hektar ianya boleh ditanam dengan 12,000 pokok tebu telur dengan nilai hasil RM1.50 hingga RM2.50 sebatang dan pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga empat meter.

"Tanaman ini boleh dituai dalam tempoh lapan bulan. Selain menghasilkan jus minuman berkualiti, daunnya amat sesuai dijadikan makanan haiwan ternakan," katanya.

Katanya, PKPNK kini mempunyai kilang di Pengkalan Chepa dan mempunyai rangkaian kerjasama perniagaan dengan beberapa negara luar. - UTUSAN ONLINE