Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, sehingga kini terdapat lebih 30 program menjadi acara tetap setiap tahun dalam usaha menarik kedatangan pelancong.

Beliau berkata, program berkonsep pelancongan sukan itu diharap berupaya menarik peminat sukan berbasikal menikmati keindahan alam semulajadi sambil beriadah selain memperkenalkan tempat bersejarah, warisan, kesenian dan kebudayaan penduduk negeri ini.

“Acara julung kali ini yang membabitkan kayuhan sejauh 41 kilometer telah berjaya menarik 500 peserta dari pelbagai peringkat umur.

“Kita mahu gamit kedatangan pelancong dari luar dan dalam negara khususnya ke Pengkalan Datu yang mempunyai sejarah yang lama, sungai yang cantik dan keunikan pasar terapung,” katanya ketika ditemui di majlis penutup program Kayuhan Fun Ride Warisan di Cerana Villa Resort di sini hari ini.

Program kayuhan itu anjuran bersama Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBha) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Majlis Daerah Bachok (MDB).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Waspada, Mohd Asri Husin berkata, pihaknya mahu menjadikan Sungai Pengkalan Datu sebagai pusat sehenti tumpuan pelancong.

Beliau berkata, sehingga kini pasar terapung di sini yang turut menyediakan persembahan kesenian menarik kehadiran 500 pengunjung setiap minggu sejak beroperasi tahun lalu.

“Kita juga ada perkhidmatan bot untuk menelusuri Sungai Pengkalan Datu hingga ke Kuala Besar di mana pelancong boleh menikmati keindahan persekitaran termasuk melihat Rumah Api Pantai Senok di Bachok yang merupakan rumah api terendah di Asia Tenggara,” katanya. - UTUSAN ONLINE