Ibrahim Aridani, 75, atau nama asalnya, Jimy, yang berketurunan Kadazandusun memeluk Islam ketika usia 20-an tetapi kecetekan ilmu dan cabaran sekeliling menjadikan Jimy hanya Islam pada nama sahaja malah bekas isterinya murtad setelah termakan pujukan seorang paderi.

“Saya berhijrah seorang ke Semenanjung pada tahun 1992 dan bekerja sebagai pengawal keselamatan, satu hari saya dapat panggilan telefon daripada isteri saya di kampung ketika itu yang memberitahu dia sudah jadi Kristian semula dan mengajak saya mengikutnya.

“Saya bagitahu kenapa buat macam itu sedangkan Tuhan itu satu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, isteri saya tetap dengan keputusannya dan saya kata terserah kepada dia mahu buat apa pun,”katanya ketika ditemui selepas program Mahrajan Amal Islami Mualaf negeri di sini baru-baru ini.

Dalam pertandingan dwi-tahunan bagi menguji pengetahuan asas Islam golongan mualaf itu, Jimy telah meraih tempat ketiga kategori tilawah lelaki.

Lelaki yang mempunyai sembilan anak daripada perkahwinan pertamanya ini berkata, segalanya berubah enam tahun lalu apabila dia berjumpa Kamariah Mamat, 55, seorang janda anak tiga.

“Kamariah datang ke Kuala Lumpur untuk menziarahi rakannya dan ketika itulah kami diperkenalkan oleh seorang lagi kenalan yang mahu menjodohkan kami.

“Kamariah mengajak saya balik ke Kelantan untuk bertemu anak-anaknya, dia kata daripada saya tinggal di bandar besar dalam keadaan hidup tunggang langgang dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan lebih baik saya berpindah ke Kelantan,”katanya.

Jimy berkata, dia tidak sukar untuk membuat keputusan kerana sudah lama berminat dengan wanita Kelantan dan mahu belajar agama selain memasang niat mati dan dikuburkan di negeri ini.

Menurut Jimy, dia menikahi Kamariah pada tahun 2013 di surau berdekatan rumah isterinya di Kampung Telaga Bata di sini.

“Kamariahlah yang mengajar saya mengaji setiap malam selain daripada saya belajar dengan ustaz di pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Kamariah pula berkata, hatinya sangat kasihankan Jimy bila mengenangkan warga emas itu hidup berdepan pelbagai bahaya semasa bertugas sebagai pengawal keselamatan dahulu.

Jelas wanita ini, walaupun dia hanya bekerja sebagai seorang tukang sapu di sebuah bank di sini, namun dia yakin rezeki yang ada masih boleh dikongsi dengan suaminya yang perlukan sokongan rohani dan jasmani.

“Suami saya bangun tiap malam pada pukul 3.00 pagi untuk sembahyang tahajud, dia kata seolah ada rakaman suara berbisik di telinganya setiap awal pagi menyuruhnya bangun sembahyang,” katanya. UTUSAN ONLINE