Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pematuhan kepada aspek pemakaian yang selari dengan garis panduan Islam adalah sebahagian ciri-ciri profesionalisme atau ‘ihtirafi’ yang menekankan kepada akhlak dan integriti.

“Sebagai muslim dan penjawat awam kita hendaklah berakhlak dengan akhlak mulia dan terpuji contohnya melibatkan solat dan pemakaian. Walau sesibuk mana pun kita dalam menjalankan tugas jangan sampai mengabaikan solat.

“Begitu juga dengan pemakaian terutama melibatkan kaum wanita, usahlah berhias sehingga melanggar perintah Allah dalam soal menjaga aurat. Pakaian yang ketat, berwangian dan berhias yang melampau hendaklah dijauhkan dan tidak berlaku dalam Kompleks Kota Darulnaim,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Ucapan Amanat Tahun Baharu 2019 dengan tema ‘Pengurusan Ihtirafi Tunjang Kesejahteraan’ di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Kira-kira seribu penjawat awam dari jabatan dan agensi kerajaan negeri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hadir mendengar amanat daripada beliau.

Ahmad berkata, perkara itu mungkin dianggap biasa oleh sebahagian pihak tetapi sebagai sebuah kerajaan yang meletakkan Islam sebagai dasar, isu penjagaan aurat adalah besar kerana melibatkan keberkatan dalam pentadbiran.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau bersyukur dengan prestasi kewangan cemerlang kerajaan negeri apabila akaun semasanya pada penghujung 2018 mencatatkan lebihan (surplus) RM40.4 juta meningkat daripada lebihan RM38.2 juta pada 2017. - UTUSAN ONLINE