Asip Angoi, 59, dari Pos Simpor di sini yang merupakan bekas pesakit tibi dan lelah. Dia jatuh sakit sejak tiga hari lalu lalu perkara itu dilaporkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kepada JBPM.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Jakoa bagi melakukan operasi pemindahan perubatan (Medevac) kira-kira pukul 11 pagi ini.

Katanya, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara JBPM Subang pada pukul 1.05 petang.

“Kami tiba di Pos Simpor pada pukul 1.28 petang menggunakan pesawat MI-17-IV dan telah mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang sekitar 1.58 petang.

“Pesakit yang lemah dan tidak boleh berjalan itu diangkat menggunakan pengusung. Kemudiannya pesakit yang ditemani pengiring iaitu anaknya, Sha’ari, 30, telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

“Penerbangan ini diketuai oleh juruterbang, Penguasa Kanan Bomba 1, Sofian Ahmed @ Ibrahim dan Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Azuna Mohamed Sabri bersama lima lagi anggota,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Farhan, keluarga tidak dapat membawa keluar pesakit kerana tidak mempunyai kenderaan pacuan empat roda untuk melalui jalan balak. - UTUSAN ONLINE