Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, konsep kesamarataan perlu untuk membangunkan negeri ini walaupun ditadbir parti pembangkang.

Beliau berkata, rakyat negeri ini tidak wajar didiskriminasikan malah  keperluan mereka  mesti dipenuhi.

"Beberapa pelan rancangan akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan khusus untuk merangsang ekonomi selain mewujudkan peluang pekerjaan  kepada rakyat walaupun berdepan dengan ekonomi negara yang berkembang secara   perlahan akibat  kelembapan ekonomi serantau," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Pemukiman Pimpinan PH  Kelantan di Pusat Latihan Kenaf dan Tembakau, dekat sini, hari ini.

Kira-kira 150 pemimpin peringkat kawasan dan negeri parti itu menyertai perjumpaan yang turut dihadiri  Pengerusi Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kamaruddin Md. Nor.

Husam berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya pemberian lesen secara halal kepada rakyat yang tinggal di kawasan sempadan Malaysia-Thailand untuk mengimport barangan keperluan harian seperti beras dan ayam dari negara jiran itu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkata,  langkah itu akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat  tanpa kekangan undang-undang selain mengelak kegiatan penyeludupan.      

“Kita juga mencadangkan supaya Lapangan  Terbang Sultan Ismail Petra di Pangkalan Chepa dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.

“Ini bagi membolehkan penerbangan terus dua hala dengan negara jiran dan serantau termasuk negara terutama China ke Kelantan.

“Langkah  itu akan merancakkan industri pelancongan  di negeri ini yang secara tidak langsung akan menjana pendapatan rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE