Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Azmir Damiri berkata, selepas membaca laporan akhbar Utusan Malaysia, pihaknya melancarkan pungutan derma kilat sehingga berjaya menyediakan bakul makanan dan sumbangan kewangan kepada keluarga Mat Ripin Ya, 50.

Menurutnya, pihaknya bersimpati dengan keadaan keluarga Mat Ripin yang bagaikan ‘jatuh ditimpa tangga’ kerana terpaksa hidup dalam kemiskinan dan pada masa yang sama terpaksa menguruskan anaknya, Alia, 8, yang menghidap penyakit tersebut.

“Rumah keluarga ini terlalu kecil. Sendat untuk 13 orang ahli keluarga tinggal. Keluarga ini seharusnya diberi bantuan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui Utusan Online pada Program Ziarah Asnaf Polis Pasir Puteh semalam.

Beliau diiringi Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Pasir Puteh, Nor Hafika Md. Zaki bersama 30 anggota pelbagai pangkat.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kisah Alia yang sepatutnya berada dalam Tahun Dua di sekolah harian kerajaan kerana umurnya menjangkau lapan tahun namun tersisih daripada alam persekolahan kerana suratan takdir.

Anak kelapan daripada sembilan beradik kepada pasangan, Mat Ripin dan isterinya, Rokiah Nor, 40, itu merupakan salah seorang daripada 173 penghidap penyakit Hydrocephalus berdaftar di seluruh negara.

Mohd. Azmir berkata, anggota polis terpanggil untuk bersama membantu masyarakat yang kesusahan dan memastikan kerja amal seumpama itu akan dilaksanakan secara berterusan.

“Laporan Utusan Malaysia mengenai penyakit Hydrocephalus semalam menyentuh perasaan pembaca kerana penderitaan yang dikendong selama ini termasuk menangguhkan rawatan kepala dilakukan kerana kekangan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Rokiah yang berterima kasih atas kunjungan tersebut berkata, Alia dijangka menjalani pembedahan kepala pada minggu depan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dengan semua kos rawatan ditanggung oleh Yayasan Hydrocephalus Negara.

“Kami turut dikunjungi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mereka akan membantu kami segera,” katanya. - UTUSAN ONLINE