Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, bagi membangunkan semula projek di kawasan sedia ada seluas 47 hektar, sebanyak RM200 juta diperlukan.

Menurutnya, pusat pengajian itu dijangka mampu menampung kira-kira 1,500 pelajar setahun, sekali gus bakal merancakkan pembangunan di Tok Bali.

"Ia amat penting bagi menampung tenaga mahir yang diperlukan dalam bidang perkapalan dan laut dalam di seluruh negara.

"Dahulunya pembangunan IKM ini telahpun diluluskan, namun saya turut hairan realiti pembinaan dan pelaksanaannya tergantung hingga sekarang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan watikah pelantikan 90 ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak di Raja Dagang Resort, di sini hari ini.

Kamarudin berkata, usaha membangunkan semula jaringan jalan raya juga akan turut diusahakan bagi menyelamatkan Cherang Ruku supaya tidak menjadi pekan yang mati.

"Kesan pembinaan jalan pintas iaitu jalan pantai dari Terengganu ke Kota Bharu telah menyebabkan pekan Cherang Ruku atau lebih dikenali sebagai pekan Semerak menjadi kian sepi.

"Kita akan mengemukakan cadangan agar perancangan pembinaan jalan raya dari Tok Bali ke Jeli akan melalui pekan Cherang Ruku," katanya. - UTUSAN ONLINE