Kesemua penerima sumbangan yang keseluruhannya bernilai RM10,000 itu merupakan ahli kelab tersebut.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful , Mohd Asri Omar dalam satu majlis di Rumah Asnaf Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas KKAK, Ir Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni; Ketua Biro Utusan Malaysia Kelantan, Azran Fitri Rahim dan Pengurus Wilayah Timur Hong Leong MSIG Takaful, Mohd Zulkiflee Mamat.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, sumbangan berupa barangan keperluan dan wang tunai itu adalah bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut kepada golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyampaikan bantuan di tempat lain seperti Baitul Quran di Kelang, Selangor serta sekolah-sekolah agama di bawah pengendalian masjid.

“Semoga pada masa akan datang perniagaan kita lebih berkembang dan kita dapat menyumbang kepada masyarakat dengan skala lebih besar.

“Pendekatan memberi nilai tambah kepada masyarakat ini melalui hasil perniagaan ini adalah sesuatu yang membawa keberkatan dan rahmat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Hasniza Abdullah, 47, dari Perupok, Bachok berkata, dia mula datang ke Rumah Asnaf KKAK sejak tiga tahun lalu untuk meminta bantuan memandangkan suami yang bekerja kampung hanya beroleh pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Katanya, dia mempunyai lima orang anak berusia tujuh tahun hingga 20 tahun yang perlu ditanggung memandangkan hanya yang sulung baru mula bekerja sebagai pembantu kedai makan.

“Ramai asnaf yang berdaftar dengan kelab ini dan kami bukan sahaja berkongsi masalah dan pengalaman malah diberi peluang belajar mengaji al Quran di sini.

“Setiap kali ada pihak beri sumbangan kepada KKAK ia akan dibahagikan kepada semua mengikut giliran dan rezeki masing-masing,” katanya. - UTUSAN ONLINE