Pengarah Perkeso negeri, Nora Yaacob berkata, ini kerana kurang kesedaran dan sikap cakna golongan tersebut untuk mencarum walaupun mereka wajib berbuat demikian mengikut Seksyen 11 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang mana sabit kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Kita telah mendekati golongan tersebut sejak tahun 2017 lagi dan untuk tahun 2019, Perkeso telah mengadakan tujuh sesi libat urus serta sesi penerangan dengan pihak yang terlibat namun malangnya hanya 254 pemandu pemandu teksi, e-hailing serta bas sekolah dan kilang yang mendaftar dengan kami dari jumlah keseluruhan yang sepatutnya mendaftar 2,193 orang.

"Oleh yang demikian sekarang tiba masanya tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka yang masih belum mendaftar dan mencarum dengan pihak Perkeso. Buat masa ini kami memberikan masa kepada pihak yang terlibat melalui progam pemutihan bermula 1 Julai sehingga 31 Julai untuk mereka mendaftar," katanya dalam sidang akhbar sempena Ops Pemutihan Perkeso di sini hari ini.

Ops Pemutihan Perkeso itu melibatkan 15 anggota dari unit penguatkuasaan dengan dibahagikan tiga kumpulan dan lokasi menjadi tumpuan adalah kawasan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chong Hwa; SRJK Peir Chih dan stesen teksi di Kubang Kerian dekat sini.

Justeru, Nora menyeru kepada semua pemandu teksi, e-hailing dan bas persendirian di negeri ini supaya segera mendaftar dan mencarum dengan Perkeso bagi mengelakkan dikenakan kompaun atau didakwa di mahkamah.

"Bermula 1 Ogos ini, aktiviti penguatkuasaan akan bermula dan bagi pemandu yang masih belum mendaftar akan dikenakan kompaun mengikut Seksyen 75 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 di antara RM500 hingga RM4,000 bergantung kepada tempoh kesalahan yang telah dilakukan dan sekiranya gagal pendakwaan akan diambil.

"Pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang mana sabit kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak melebihi dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambahnya, caruman dalam Perkeso akan memberikan pelbagai faedah kepada golongan tersebut. - UTUSAN ONLINE