Guru tersebut, Nik Alaman Nik Lah, 43, yang mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kemahang 2, Tanah Merah berkata, ini adalah hadiah paling mahal pernah dimenangi sepanjang dua tahun terlibat dalam sukan berbasikal.

Katanya, dia mula aktif dalam sukan ini sejak 2016 setelah dinasihati seorang rakan untuk mengatasi beberapa masalah kesihatan yang dihidapnya iaitu migrain, darah tinggi, gout dan kolesterol tinggi.

“Dahulu saya acap sakit kepala dan bengkak kaki, Alhamdulillah tidak lama selepas saya beriadah de­ngan basikal, kesihatan saya semakin baik, rasa sangat bertenaga malah sekarang kalau tidak dapat kayuh basikal saya tidak lena tidur.

“Saya menunggang basikal bersama rakan-rakan yang mempunyai hobi sama sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan jarak kayuhan antara 30 kilometer hingga 80 kilometer,” katanya ketika ditemui selepas program penutup Kayuhan Fun Ride Warisan 2018 di Cerana Villa Resort, di sini semalam.

Terdahulu, dia menerima hadiah motosikal yang disampaikan Pengerusi Ja­wa­tankuasa Perpaduan Ma­­syarakat, Kebudayaan, Wa­­­risan dan Pelancongan ne­geri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada), Mohd. Asri Husin.

Seramai 500 penunggang basikal menyertai acara kayuhan sempena Hari Malaysia bermula dari Pengkalan Datu di sini ke Bachok sebelum kembali ke Cerana Villa Resort melibatkan kayuhan sejauh 41 kilometer.

Program kayuhan itu anjuran bersama Waspada dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBha) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta Majlis Daerah Bachok (MDB).

Sementara itu, Nik Alaman berkata, dia membelanjakan kira-kira RM5,000 untuk membeli dan menaiktaraf basikal dan pada masa kini memiliki dua basikal termasuk jenis mountain bike (MTB).

“Saya sudah sertai lebih 10 program kayuhan beramai-ramai setakat ini termasuk di Terengganu dan antara sasaran saya adalah mengumpul koleksi jersi yang disediakan penganjur sebagai kenangan,” katanya.

Dalam pada itu, Md. Anizam berkata, Program Kayuhan Fun Ride Warisan bakal dijadikan acara tetap dan dimasukkan dalam kalendar aktiviti rasmi pelancongan negeri ini mulai tahun depan.