Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya akan menyusun atur tanah rizab berkenaan termasuk membersih dan memperindahkan kawasan tali air sepanjang kira-kira 1,500 kilometer (km) keseluruhannya.

Beliau berkata, tanah tersebut boleh dimanfaatkan dengan menanam pelbagai jenis tanaman makanan ternakan ruminan termasuklah indigofera.

"Kita amat mengalu-alukan semua pihak untuk bersama-sama memanfaat aset yang ada dan menjadikan ia sebahagian daripada program KADA.

"Mereka yang mengusahakan tanaman di tanah rizab tali air tidak lagi dianggap penceroboh, malah kita memberi peluang kepada petani untuk menjana ekonomi dengan membangunkan landskap tanaman yang sesuai dan berpotensi di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Turun Padang di Kampung Jal, Kok Lanas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar KADA, Nik Roslan ldris.

Dalam pada itu, Husam berkata, pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk mengatasi masalah air yang sering dihadapi petani.

"Selain masalah paras air sungai Kelantan yang menurun, masalah kerosakan pam juga menyebabkan bekalan air terencat beberapa tahun ini.

"Jadi, program turun padang ini adalah

salah satu usaha kita untuk sama-sama memberi input terhadap beberapa perkara yang boleh dimajukan serta mengenalpasti masalah yang berbangkit," katanya.- UTUSAN ONLINE