Graduan Diploma Pengajian Perniagaan, Siti Syazwani Ramli,22, yang berasal dari Rantau Panjang berkata, dia berniaga jualan pakaian wanita seperti T-shirt, seluar palazo, dan seluar jeans ketika berada di tingkatan empat lagi.

Menurutnya, bermula dengan modal sebanyak RM100, kini dia mampu membuka kedai pakaian sendiri di Rantau Panjang pada Mei lalu.

“Awal-awal berniaga dulu saya peroleh RM10,000 sebulan, sejak masuk PKB banyak ilmu perniagaan saya serapkan dalam pernigaan online ini sehingga sekarang pendapatan mencecah RM30,000 sebulan.

“Hampir 80 peratus bidang yang saya belajar di PKB ini membantu saya berniaga antaranya subjek ‘Digital Entrepreneurship’ yang memberi pendedahan cara untuk berniaga dalam talian, laman web serta membuat iklan di laman sosial seperti Facebook dan Instagram,” katanya.

Dia ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu sidang kedua, di sini semalam.

Sidang kedua istiadat tersebut disempurnakan Pengarah Urusan Teguh Kualiti Sdn. Bhd., Datuk Seri Zainoddin Azahari dan turut dihadiri Pengarah PKB, Kamaludin Daud dan Timbalannya, Azahan Daud.

Siti Syazwani dalam pada itu berkata, walaupun terikat dengan komitmen untuk belajar, perkara itu tidak menjadi penghalang baginya untuk bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.

“Kita perlu bijak membahagikan masa jika ingin berniaga ketika belajar. Semangat penting, kita tidak boleh mudah putus asa walaupun tidak memperoleh keuntungan masa singkat.

“Memang tidak cukup tangan untuk saya melakukan perniagaan ini berseorangan. Saya membayar upah kepada adik, Mohamad Aiman Ramli,17 serta seorang pekerja untuk membantu proses penghantaran dan pembungkusan bekalan,” ujarnya.

Tambah Shazwani, peniaga perlu bijak bersaing dan mengikut “trend” semasa untuk memperoleh keuntungan.

“Saya gunakan platform media sosial seperti memiliki akaun Instagram perniagaan sendiri dan kini mempunyai hampir 60,000 pengikut. Saya juga selalu membuat ‘live’ kerana dengan cara itu dapat menambah pengikut di media sosial.

“Setahun sekali saya akan ke luar negara antaranya China, Bangkok dan Hatyai untuk mengambil bekalan jualan daripada pembekal disamping menempah bekalan melalui dalam talian,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE