Maria Angah, 22, yang mengambil jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Secara Islam berkata, dia bersyukur menjadi orang pertama dalam keluarga yang berjaya mencapai tahap akademik setinggi ini.

 Anak keempat daripada 11 adik beradik itu berkata, dia bercadang untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda pula jika mendapat peluang bagi membalas jasa ibu bapa dan pihak yang membantunya.

 "Saya bersyukur dapat belajar di Kias dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya Yayasan Sultan Kelantan; Islamic Outreach ABIM Centre Kelantan (IOACK) dan Madrasah Pengajian Islam (MPI), Kok Lanas.

 "Saya mendapat wang saku bulanan sebanyak RM400, kadang-kadang ada masanya saya terpaksa mengikat perut tetapi saya menahan diri daripada mengadu kepada ayah dan ibu kerana tidak mahu menyusahkan mereka," katanya selepas majlis konvokesyen di Dewan Besar, Kompleks Islam Lundang di sini hari ini.

 Terdahulu, Maria menerima diploma yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

 Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Kias Darul Naim Sdn Bhd (KDSB), Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Eksekutif KIAS, Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin.

 Sementara itu, ayah Maria iaitu Angah Amat, 59, berkata, dia dan isteri, Andak Anjang, 39, sejujurnya tidak menjangka anaknya berjaya menamatkan pengajian dengan sempurna dan berharap dia dapat menyambung pengajian sehingga mencapai cita-citanya menjadi seorang guru.

 Katanya, dia memeluk Islam pada tahun 1997 dan mengikuti latihan di pejabat Angkatan Belia Islam Islam Malaysia (ABIM) Tanjung Mas untuk menjadi guru agama kepada penduduk kampungnya di Gua Musang.

 "Saya sekeluarga memeluk Islam ketika Maria masih dalam kandungan ibunya, saya sedar pelajaran amat penting sebab itu saya pastikan semua anak-anak bersekolah sekurang-kurangnya hingga ke peringkat menengah," katanya. 

 Seramai 210 graduan menerima diploma dalam bidang masing-masing iaitu Diploma Usuluddin; Diploma Al Syariah; Diploma Bahasa Arab; Diploma Dakwah Dengan Media; Diploma Kaunseling; Diploma Perbankan Islam; Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak Secara Islam; Diploma Tahfiz Al Quran; Diploma Qiraat dan Tarannum serta Diploma Pengajian Islam.

 Pada majlis itu juga, tiga graduan wanita yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum telah membolot tiga anugerah tertinggi majlis konvokesyen tersebut iaitu Syahidatulhusna Birkamsin, 25, yang mendapat Anugerah Muhammad Al-Fatih, Zaakirah Imana Salam, 21, (Anugerah Ibn Khaldun) dan Anis Khairani Marzari, 21 (Anugerah Tok Pulau Melaka). - UTUSAN ONLINE