Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada Balai Polis Pengkalan Kubor pada pukul 9.30 pagi mengenai kehilangan dua nelayan terbabit.

Menurutnya, kedua-dua nelayan itu ialah Mohamad Aminuddin Mohd. Noor, 30, dan Nik Zulkifli Nik Abdul Rahman, 28, dilaporkan telah keluar ke laut menggunakan bot fiber kira-kira pukul 8 pagi semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga pagi tadi.

"Pengadu yang membuat laporan kehilangan dua nelayan itu, Mohd. Zaidi Md. Noor yang merupakan kepada abang salah seorang mangsa memberitahu kebiasaannya adiknya akan pulang selewat-lewatnya pada pukul 6 petang hari yang sama.

"Namun kali ini, mangsa tidak balik dan gagal dihubungi menerusi telefon yang dibawanya. Disebabkan risau terhadap keselamatan mereka, dia melaporkan perkara itu kepada pihak polis pada pukul 8.53 pagi tadi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ismail berkata, pihaknya mengarahkan Bot Maritim Kilat melakukan pencarian pada pukul 9.45 pagi.

Bagaimanapun, katanya, pada pukul 11.40 pagi, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu yang mengatakan kedua-dua nelayan tersebut telah ditemukan dalam keadaan selamat bersama bot mereka yang mengalami kerosakan enjin oleh nelayan nelayan tempatan.

Menurutnya, kedua-dua nelayan dan bot mereka ditunda masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor sebelum dibenarkan pulang ke rumah. - UTUSAN ONLINE