Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi, kedua-dua mangsa merupakan guru dikenali sebagai Koh Bee Chen, 49, dikhuatiri patah kaki manakala rakannya, Yap Ah Chai, 30, keletihan kronik selain pitam di puncak bukit.

Ketua Operasi Menyelamat, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zawawi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.48 pagi dan lapan anggota bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, kedua-dua mangsa didapati dalam keadaan letih dan tidak bertenaga.

“Mereka berjaya diselamatkan dan dibawa turun oleh anggota bomba yang bertugas dengan cara diusung menggunakan ‘stretcher’,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bomba selamatkan guru

KERJA menyelamat salah seorang guru wanita yang cedera di puncak Bukit Marak, Bachok, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Mohd. Zawawi berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan yang menunggu di kaki bukit dan dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.

Menurutnya, Bukit Marak adalah salah satu lokasi riadah yang sering dikunjungi orang awam bagi aktiviti pendakian namun ini kali pertama pihaknya terlibat dengan operasi menyelamat pendaki di puncak bukit.

Tambah beliau, orang awam yang ingin melakukan pendakian dinasihatkan supaya mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini. - UTUSAN ONLINE