Struktur baharu itu dibina bagi menggantikan bangsal bersewang sedia ada yang diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun bertam sudah usang dan hampir runtuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kebanyakan bangsal bersewang itu dibina secara gotong-royong kaum itu sendiri.

Katanya, sumbangan untuk perbelanjaan turut diberikan untuk memudahkah segala urusan berkaitan.

“Bangsal bersewang baharu ini lebih selamat dan penting untuk Orang Asli apabila bukan sahaja mereka dapat melakukan aktiviti bersewang tetapi sebagai tempat perjumpaan dengan komuniti lain.

“Kita memuji sikap dan semangat kaum Orang Asli yang mengekalkan amalan gotong-royong bagi membina bangsal bersewang," katanya ketika berucap merasmikan Bangsal Bersewang di Kampung Kuala Renggil, Pos Brooke di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Syahbuddin berkata, kaum Orang Asli yang tinggal di sekitar Pos Brooke dan Lojing masih ramai hidup terpinggir serta berdepan risiko pencemaran sungai.

Katanya, masalah itu bukanlah perkara baharu, tetapi dialami mereka sejak lebih 10 tahun lalu kerana kesan aktiviti pembukaan tanah untuk kebun sayur yang tidak terkawal.

“Kita juga dimaklumkan banyak berlaku kemusnahan kawasan tadahan air bukit hingga menjejaskan hidup mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Kita akui sejak kebelakangan ini semakin sukar mendapatkan kawasan baharu untuk tujuan tadahan air bukit berikutan dicerobohi pengusaha kebun sayur," katanya.

Tambahnya, masalah itu sedang diteliti untuk dibincangkan dengan pelbagai pihak termasuklah pihak Kerajaan Pusat dan negeri supaya ada cadangan baharu membantu Orang Asli di kawasan berkenaan. - UTUSAN ONLINE