Bertempat di Hotel GRV, di sini, The Teddy Bear Hospital bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang merupakan satu program pendidikan unik bagi mendedahkan kanak-kanak dan ibu bapa dengan persekitaran hospital serta penjagaan kesihatan.

Ketua Penyelaras Imacats, Dr. Dalila Roslan berkata, program tersebut merupakan edisi kedua di negeri ini selepas diperkenalkan tahun lalu dan menyasarkan penyertaan lebih 2,000 kanak-kanak serta ibu bapa.

Katanya, program itu bakal melibatkan kira-kira 200 sukarelawan terdiri daripada doktor serta pengamal perubatan yang datang dari seluruh negara.

“The Teddy Bear Hospital merupakan satu program interaktif yang membawa konsep belajar menerusi pengalaman. Para peserta yang datang diminta membawa patung mainan masing-masing untuk menjalani rawatan olok-olok.

“Dalam masa sama, kita akan dedahkan mereka dengan prosedur rawatan, langkah pencegahan serta apa yang perlu dibuat sekiranya berlaku kejadian kecemasan.

“Langkah itu dapat membantu mengurangkan rasa ketakutan kanak-kanak apabila terpaksa berada di hospital untuk mendapatkan rawatan daripada doktor atau pakar perubatan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Hotel GRV, Vincent Chua.

Mengulas lanjut, Dalila berkata, selain mendedahkan peserta dengan penjagaan kesihatan, pro­gram itu menjadi plaform untuk pihaknya berkongsi de­ngan ibu bapa perkara berkaitan psikologi anak-anak, isu seks luar nikah serta pemvaksinan.

“Program ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat tanpa sebarang bayaran dikenakan. Diharap ibu bapa dapat datang bersama anak masing-masing.

“Di samping berhibur sambil belajar, orang ramai juga berpeluang menyumbang kepada program Sponsor A Teddy. Menerusi program ini, setiap sumbangan orang ramai akan disalurkan kepada masyarakat Rohingya di Myanmar,” katanya.