Dengan tema Pembasmian Kemiskinan, peserta terdiri daripada belia negara ini, Thailand, Vietnam, Filipina, Brunei, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Singapura dan Laos akan berkonvoi sejauh 90 kilometer dan berkampung di Pos Gob sehingga 20 Ogos ini.

Pengarah program berkenaan, Prof. Datuk Dr. Rokiah Omar berkata, program itu adalah eidisi ketujuh sejak dimulakan pada 2013.

Katanya, para peserta terdiri daripada belia berumur antara 18 hingga 30 tahun dan mereka akan menabur bakti kepada kaum Orang Asli sepanjang program berlangsung.

“Tumpuan program lebih kepada aspek pendidikan kanak-kanak Orang Asli selain memberi fokus kepada alam sekitar dan kemudahan asas.

“Kita berharap peserta akan memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang berguna sepanjang program ini dan melaksanakan projek komuniti selepas kembali ke negara masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran konvoi program di perkarangan Sekolah Menengah Sains (SMS) Gua Musang, di sini hari ini.

Pelancaran konvoi itu dilakukan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Sik Choon Foo.

Rokiah yang juga Pengarah Pusat Tranformasi Komuniti UKM berkata, program seumpama itu pernah diadakan tahun lalu di Langkawi, Kedah dan Bandung, Indonesia.

Katanya, tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah dan buat pertama kali memilih kampung Orang Asli di Pos Gob sebagai lokasi program.

“Kita juga berterima kasih kepada 200 kakitangan sokongan yang menjayakan program ini termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jakoa, Jabatan Kesihatan dan banyak lagi agensi,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta dari Brunei, Nur Diyana Nasriah Suhaili, 27, teruja apabila berpeluang mewakili negaranya ke program berkenaan.

Katanya, dia tidak sabar mahu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang dirancang bersama penduduk Orang Asli.

Seorang lagi peserta dari Indonesia, Grace Gunawan, 24, berkata, dia menyertai program buat pertama kali dan bersedia membawa balik segala pengalaman yang dikutip sepanjang berada di kampung Orang Asli.

"Tahun ini, peserta dari Indonesia adalah seramai tujuh orang termasuk saya," ujarnya. - UTUSAN ONLINE