Mohd. Fared Abdul Ghani

Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, gerakan membeli produk anak Kelantan itu merupakan salah satu cara orang ramai membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Kata beliau, seruan PPIK bukan bermakna mengajak orang ramai mendiskriminasi bangsa lain atau mensabotaj produk-produk mereka.

"Niat PPIK adalah untuk menyedarkan pengguna supaya mengutamakan produk-produk anak tempatan demi mengukuhkan ekonomi Kelantan.

"Adalah lebih bagus jika pengguna mengutamakan produk anak Kelantan supaya jualannya melonjak sekali gus membantu meluaskan perniagan mereka ke seluruh negara serta ke peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Fared menambah, antara anak Kelantan yang berjaya dalam perniagaan hasil sokongan padu rakyat Kelantan ialah jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.

"Beliau bermula dari negeri ini dan mendapat sokongan pengguna negeri ini sebelum berjaya di luar dan terkenal di seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Fared berkata, PPIK telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat perniagaan dalam talian bumiputera pertama di Malaysia yang dikenali sebagai OGO-EAST.

"PPIK berharap lebih ramai anak Kelantan menceburi bidang perniagan secara besar-besaran supaya dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda negeri ini," katanya. - UTUSAN ONLINE