Pengerusi YKKK, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, sumbangan yang julung kali diagihkan oleh YKKK itu melibatkan seramai 160 penerima yang berdaftar dengan yayasan.

“Hari ini,kita agih zakat berjumlah RM150 setiap seorang termasuk barang keperluan harian seperti susu dan biskut. Semua penerima yang dipilih juga terdiri daripada kepelbagaian kaum yang layak terutama golongan asnaf.

“Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban dan mengembirakan semua penerima sempena bulan Ramadan serta perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma,” katanya yang juga Presiden Persatuan Orang Kota Bharu(POKB).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat kepasa Asnaf Dan Pesakit Kanser, Kronik Pengurusan Luka dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di sini hari ini.

Yang turut hadir,Timbalan Pengarah HRPZII, Dr. Puteri Nurbaya Mohamed Ismail; Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin HRPZ II; Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi dan mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat.

Sementara itu, salah seorang penerima, Leeyana Hamu,22, yang juga ibu kepada seorang kanak-kanak menghidap penyakit saraf, Muhamad Ziqry Aiman Edey Sherry, 5, berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih dengan pemberian zakat daripada YKKK hari ini.

“Hampir setiap tahun kami akan menerima sumbangan zakat, ianya sangat meringankan beban saya dan Suami, Edey Sherry Ramli, 27, terutama dalam membuat persiapan raya tidak lama lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Zabiyah Zakaria,46, berkata, sumbangan yang diterima merupakan rezeki Ramadan bagi anaknya pada tahun ini.

“Alhamdulillah, ini kali pertama kami sekeluarga menerima sumbangan zakat dan kesemua empat anak saya yang berumur antara enam hingga 13 tahun menerima zakat hari ini.

“Saya sudah menyediakan persiapan raya kepada mereka, tapi dengan wang ini akan menyempurnakan lagi permintaan mereka untuk membeli keperluan dan bergembira di hari raya tahun ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE