MUAZ MOHAMAD
MUAZ MOHAMAD 

Muaz yang ketika itu berusia 8 tahun akhirnya terpaksa akur apabila hanya mampu merangkul jasad ayah, Mohamad Deris, setelah dibawa pulang ke rumah di Jelawat, Bachok.

Muaz yang merupakan anak ketiga dari enam beradik berkata, kalau dahulu arwah ayah dan ibunya, Nor Azizah Muhamad, 38, sama-sama membuat kuih untuk diletak di kedai makan, tetapi sejak 2015 tugas itu dipikul ibu seorang sahaja untuk menyara anak-anak dari usia lima tahun hingga 14 tahun.

“Ibu saya tidak membenarkan kami pergi ke hospital untuk melawat ayah, agaknya dia tidak mahu kami sedih melihat keadaan ayah.

“Walaupun susah, ibu pastikan kami semua bersekolah, duit saya dapat ini saya akan serahkan kepada ibu untuk bantu dia sediakan keperluan keluarga kami,”katanya ketika ditemui di program Tautan Kasih Bersama Anak Yatim di Madinah Ramadan di sini semalam

Pada majlis itu, seramai 350 anak yatim menerima sumbangan Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) berjumlah RM150 seorang

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wa­nita negeri, Mumtaz Md Nawi hadir menyampakan sumbangan.

Pada majlis itu, pendakwah selebriti Imam Muda Asyraf Ridzuan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Untungnya Menjadi Anak Yang Soleh’.

Sementara itu, Muaz yang belajar di sebuah madrasah agama di Bachok sejak tahun lalu berkata, dia sedar kesusahan ibunya bekerja menanggung kehidupan enam orang anak.

“Saya tinggal di asrama dan sekarang sudah berjaya menghafal al Quran hampir tiga juzuk, saya bercita-cita menjadi seorang ustaz, setiap hari saya doakan keselamatan ibu dan juga memohon Allah ampunkan dosa arwah ayah serta lindungi dia dari azab kubur,” katanya.

NIK EDLIN NATASYA NIK MUHAMMAD ASMANDE
NIK EDLIN NATASYA NIK MUHAMMAD ASMANDE 

Dalam pada itu, seorang lagi anak yatim, Nik Edlin Natasya Nik Muhammad Asmande, 13, dari Pengkalan Chepa pula berkata, dia akan berkongsi wang yang diterima dalam program itu dengan adiknya untuk membeli baju raya.

Anak sulung dari dua beradik ini berkata, dia dan adik lelakinya, Nik Farisy Iskandar, 6, menjadi yatim setelah ayah mereka meninggal dunia pada 2017 akibat sakit jantung.

“Ibu kami, Haslina Sukarto, 33, bekerja sebagai pembantu kedai kopi dengan upah RM 20 sehari, bulan puasa ini dia tidak bekerja sebab kedai kopi tutup, jadi kami bergantung kepada duit yang ibu simpan serta sumbangan keluarga dan jiran termasuk duit zakat,” katanya. - UTUSAN ONLINE