Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Alumni Medic USM 92, Dr. Yelmizaitun Osman kepada Pengurus Besar RMHC, Mohd. Nasri Mohd. Nordin sementara pihak Peka diwakili oleh Ketua Jabatan Peadiatrik HUSM, Prof. Madya Dr. Ariffin Nasir.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Zaini Hussain.

Sementara itu, Dr. Yelmizaitun berkata, sumbangan sebanyak RM32,500 diberikan kepada RMHC bagi pembinaan Rumah Ronald McDonald kedua di HUSM Kubang Kerian.

Katanya, manakala RM6,000 pula akan disumbangkan ke tabung Peka untuk membantu pesakit kanak-kanak yang dirawat di hospital berkenaan.

“Sumbangan bakti ini sebagai tanda terima kasih Alumni Medic USM 92 yang bertujuan membantu masyarakat secara umum dan pihak USM secara khasnya.

“Sebelum ini pada tahun 2017 pihak Alumni Medic USM 92 telah pun menyumbang sebanyak RM25,000 kepada PADU Care dalam membantu pelajar-pelajar perubatan memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nasri ketika ditemui berkata, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu pembinaan Rumah Ronald McDonald yang kini hampir siap dan dijangka beroperasi pada Jun nanti.

Katanya, Rumah Ronald McDonald kedua itu dianggar bernilai RM4 juta bagi kegunaan keluarga pesakit pediatrik yang mendapat rawatan di HUSM.

“Rumah Ronald McDonald pertama telah dibuka di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Kuala Lumpur sejak 20 tahun lalu.

“Kami amat mengalukan-alukan sumbangan dari mana-mana alumni yang ingin menyampaikan sumbangan kepada RMHC dalam merealisasikan impian kami dan semua telibat,” ujarnya.

Rumah Ronald McDonald itu mempunyai 18 bilik yang boleh menempatkan antara empat hingga enam buah katil setiap bilik yang turut dilengkapi bilik air sendiri.

Rumah itu juga mempunyai ruang makan, ruang istirehat, dapur, bilik dobi dan taman permainan serta Bilik Sensori Ronald McDonald bagi membantu perkembangan kanak-kanak istimewa dengan bantuan peralatan multi-deria khas. - UTUSAN ONLINE