Kadi Jajahan Pasir Puteh, Mohd. Fadli Sulaiman berkata, arwah dilantik sebagai imam masjid itu sejak awal 1990 merupakan aktivis masyarakat yang aktif membantu anak mukim dalam pelbagai perkara termasuk pendidikan.

Malah katanya, ketika berada di Mekah, Allahyarham Ismail masih sempat meluangkan masa mengumpul sumbangan jemaah haji bagi mengisi tabung pusat pengajian tahfiz di kampung.

“Jasa beliau yang sangat besar ialah berusaha menubuhkan sebuah pusat pengajian tahfiz di Kampung Telaga Papan.

“Sehinggakan dua hari sebelum kematiannya beliau masih meminta nombor akaun tahfiz dan masjid untuk dikongsikan kepada jemaah haji yang mahu menderma kepada tabung kami itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, Ismail yang digelar Imam Jubah atau Pok Wil turut aktif memperjuangkan nasib golongan asnaf untuk memiliki rumah yang selesa menerusi pelbagai saluran yang ada.

“Namanya sangat terkenal di kawasan Semerak dan arwah sering menyampaikan kuliah agama di serata tempat termasuk di sekolah-sekolah sekitar daerah ini.

Allahyarham Ismail Yaacob meninggal dunia pukul 1 petang semalam akibat serangan jantung. Jenazahnya disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Perkuburan Arafah. - UTUSAN ONLINE