Usaha tersebut diketuai sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan yang turun padang dengan 10 kakitangannya mencuci kawasan luar dan dalam rumah Mohd Fauzi Hassan, 50, yang didiami bersama tiga anak berusia 7 tahun hingga 10 tahun.

Mohd Zain berkata, ia adalah sebahagian usaha menyempurnakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan.

“Saya hadir bersama kakitangan Alam Flora dari Pahang dan juga pihak Kemudi, tujuan asas kita adalah untuk membantu keluarga yang menghadapi kepayahan, bapa OKU ini juga terpaksa menjaga tiga anak, dalam suasana Ramadan ini kita beri bantuan dan ringankan beban.

“Kita beri sumbangan kewangan, bahan makanan untuk memasak dan beberapa keperluan asas rumah, selepas ini kita juga akan belikan kerusi perabot baharu supaya lebih selesa,” katanya ketika ditemui selepas program CSR Alam Flora bersama Kemudi di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim dan 10 pengamal media Kelantan.

Kisah kesusahan hidup Mohd Fauzi bersama tiga anaknya, Nurul Syafiqah, 10 ; Nurul Natasya, 9 dan Muhammad Fitri, 7 yang tidak mempunyai sijil kelahiran pernah disiarkan Utusan Online hujung tahun lalu.

Sementara itu, Mohd Fauzi yang cacat fizikal di kaki dan menyara kehidupan dengan menjual buah dan sayur sangat terharu ada pihak bersusah datang membersihkan dan menyusun atur semula keadaan dalam rumahnya.

Katanya, isterinya, Anisa Abdul Rahman, 46, seorang warga Indonesia yang dinikahi di Yala,Thailand pada 2007 telah dihantar pulang ke negara asalnya awal tahun ini setelah beberapa bulan ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah akibat kesalahan pasport tamat tempoh.

“Inilah kali pertama anak-anak saya menyambut Ramadan tanpa ibu mereka. Mujurlah anak kedua, Nurul Natasya berminat memasak jadi dia yang membantu saya di dapur.

“Rumah satu bilik ini bukan milik saya tetapi ada orang yang baik hati membenarkan kami tinggal di sini sejak 10 tahun lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE