Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, menurut Perlembagaan parti itu, sesiapa sahaja yang sudah mencapai akil baligh layak menjadi ahli meskipun baru berusia 12 tahun.

 Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, program parti untuk menarik orang muda giat dlakukan sejak dahulu lagi namun mengakui cabaran kini lebih besar kerana golongan muda banyak terdedah kepada media sosial.

 "Pendaftaran (mengundi) secara automatik ini kita sudah lama cadang kepada Kerajaan Persekutuan, dari dahulu lagi, Alhamdulillah sekarang sudah diterima dan lulus di Parlimen.

 "Kita sejak dahulu berusaha (tarik) ahli contohnya menerusi program Dewan Pemuda dan Unit Amal untuk mendekati masyarakat terutama generasi muda, kita dekati (remaja) kerana keahlian kita adalah bermula dari akil baligh jadi umur 12 tahun pun sudah boleh.

 "Cuma usaha menarik generasi muda sekarang lebih mencabar sebab generasi muda terdedah kepada media soial, kita perlu tingkatkan penerangan melalui media sosial,"katanya selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

 Beliau diminta mengulas sejarah yang tercatat di Parlimen semalam apabila Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 lulus dengan sokongan majoriti Dewan Rakyat yang menurunkan umur layak mengundi dan menjadi calon kepada 18 tahun dan membolehkan pendaftaran mengundi secara automatik. - UTUSAN ONLINE